Kamis, 18 Agustus 2011

Cetak Artikel Ini
Meskipun kita baru berada di pertengahan bulan Ramadhan, namun kemeriahan menyambut Syawal sudah terasa. Ramai yang sudah membuat persediaan untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Bekalan kuih raya pun sudah disediakan. Bagi mereka yang ingin pulang ke kampung, wajah orang tersayang sentiasa terbayang-bayang di mata. Pendek kata, hati kita senang dan gembira.

Tetapi pernahkah kita bayangkan bagaimana keadaan golongan fakir dan miskin pada waktu ini, apalagi anak yatim piatu? Bagaimana persiapan mereka menjelang raya? Adakah mereka juga gembira dan ceria seperti kita? Yang pastinya keadaan hidup mereka serba kekurangan dan tidak seperti kebanyakan orang. Kalaupun ada persiapan menyambut Syawal, sekadar cukup untuk sekeluarga sahaja.

Justeru itu dalam Islam, kita diwajibkan memberi zakat agar dapat meringankan beban mereka dan merasakan nikmat hari raya bersama.

“Rasulullah (s.a.w) telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan: “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)””. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri)

Apa itu zakat fitrah?

Dari segi istilah bahasa, zakat bermaksud bersih, suci, bertambah dan subur; manakala fitrah membawa maksud tabiat semulajadi manusia yang suci bersih.

Dari segi istilah syarak pula, zakat fitrah bermakna mengeluarkan makanan asasi bagi sesebuah negara dengan kadar tertentu, dan diberikan kepada golongan tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Zakat fitrah, yang juga dikenali sebagai zakat diri, merupakan rukun Islam yang ketiga. Ada juga pihak yang meletakkan zakat sebagai rukun keempat (Penjelasan lanjut).

Imam Al-Bukhari dalam satu hadisnya meriwayatkan bahawa malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad (s.a.w) dalam rupa bentuk seorang lelaki. Apabila ditanya tentang Islam, Nabi (s.a.w) menjawab, maksudnya: “Islam ialah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa Ramadan dan naik haji ke Baitullah jika mampu.” Riwayat Bukhari.

Dalil Kewajipan Zakat Fitrah

“Rasulullah (s.a.w) mewajibkan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan kata-kata kotor serta sebagai pemberian makanan untuk orang-orang miskin.” (Hasan, HR. Abu Dawud Kitabul Zakat Bab. Zakatul Fitr: 17 no. 1609 Ibnu Majah: 2/395 K. Zakat Bab Shadaqah Fitri: 21 no: 1827 dihasankan Asy-Syaikh Al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Dawud)

“Rasulullah (s.a.w) telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Hadis riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim).

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannnya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Al Baqarah: 277)

"Padahal mereka tidak diperintahkan kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan demikian itu agama yang lurus." (Al Baqarah: 5)

Jenis harta yang sah untuk dikeluarkan zakat fitrah?

Zakat fitrah wajib dikeluarkan dari makanan asas penduduk setempat dalam suatu negeri atau negara.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Abi Sa’id al-Khudri r.a. mengatakan: “Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar segantang dari gandum atau segantang dari barli atau segantang dari tamar atau segantang dari ‘aqt (keju) atau segantang dari kismis (anggur kering)” (Riwayat Imam Muslim). Ini kerana kurma, keju, gandum, barli dan kismis merupakan makanan asasi semasa zaman Nabi Muhammad (s.a.w).

Bagi penduduk di Malaysia, makanan asasi kita ialah beras. Oleh itu, zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras atau dengan wang yang senilai dengan beras mengikut kadar semasa. Zakat juga boleh dibayar dengan wang ringgit dengan nilai yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing:

Syarat-syarat wajib zakat fitrah?

Apabila syarat-syarat di bawah terpenuhi, maka WAJIB bagi seseorang Muslim untuk mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga serta orang yang berada di bawah tanggungannya:

1. Beragama Islam: Tidak wajib ke atas golongan bukan Islam.
2. Mempunyai harta yang melebihi keperluan makan dan minum untuk diri dan tangunggan pada pada malam dan siang hari ray.
3. Hidup pada akhir Ramadan dan awal syawal (mestilah dapat hidup pd kedua-dua bulan tersebut walau sekejap).
  • Bayi yang lahir setelah terbenam matahari pada akhir Ramadan (setelah masuk waktu maghrib atau malam raya) tidak diwajibkan zakat fitra.
  • Bayi yang dilahirkan sebelum terbenam matahari akhir Ramadan (sebelum masuk waktu maghrib) dan meninggal dunia setelah terbenam matahari (setelah masuk waktu maghrib) diwajibkan zakat fitrah.
  • Orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari (sebelum masuk waktu maghrib) pada hari terakhir Ramadan tidak wajib zakat fitrah baginya.
Rukun zakat

Mengeluarkan sebagian dari nisab (harta), dengan melepaskan kepemilikan terhadapnya.

Syarat Sah Pelaksanakan Zakat

- Niat
- Tamlik (Memindahkan kepemilikan harta kepada penerimanya)

Waktu Pembayaran zakat fitrah

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
  • Wajib: Apabila terbenam matahari pada akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
  • Afdal: Sebelum sembahyang Hari Raya Aidilfitri.
  • Sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.
  • Makruh: Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.
  • Haram: Selepas terbenam matahari pada satu Syawal; hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira qada. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.
Jadi kepada semua pembaca blog JomStadi, pastikan kita sama-sama tunaikan zakat sebelum tamat waktunya. Jom kita sucikan harta dan jiwa! Selamat berpuasa :)

Dikirim oleh Putra Kembara @ JomStadi: Berbagi Di Taman Ilmu

Tulisan bertajuk "Zakat Fitrah: Penyucian Harta dan Jiwa" ini telah dikirim oleh Putra Kembara. Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Sebarang cadangan dan kritikan boleh dikongsi dalam kotak komen di bawah. Anda dibenarkan untuk menyalin, menyebar dan meletakkan artikel ini di blog atau laman web anda selagi tidak mengubah isi kandungan artikel ini dan menyatakan sumber dari http://jomstadi.blogspot.com/2011/08/zakat-fitrah-penyucian-harta-dan-jiwa.html. Semoga bermanfaat.

2 komen:

 
Blogged.my Ping di Busuk.org blogr.my GilaPing.com JomStadi di TotalPing.com Kartikel My Zimbio Ping blog, website, atau suapan RSS secara PERCUMA