Jadual Pembayaran Gaji Penjawat Awam Tahun 2020 adalah berdasarkan Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bil. 7 Tahun 2019.

Surat Pekeliling tersebut dikeluarkan bertujuan untuk memaklumkan tarikh pembayaran gaji bulanan bagi tahun 2020 dan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh Kementerian/Jabatan bagi memastikan penyediaan gaji dapat diuruskan dengan sempurna dan gaji dibayar mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Tarikh Pembayaran Gaji Penjawat Awam 2020

Tarikh pembayaran gaji bulanan bagi tahun 2020 adalah seperti di Lampiran 1 di dalam Surat Pekeliling dan ditetap berdasarkan Arahan Perbendaharaan 105 dan surat kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia rujukan MOF.BSKK.600-2/2/3 Jld. 3(37) bertarikh 19 November 2019 – Permohonan Pengecualian AP105 Tarikh Pembayaran Gaji Tahun 2020.

Jadual Pembayaran Gaji Penjawat Awam Tahun 2020






Peraturan Pembayaran Gaji Penjawat Awam 2020

  1. Tanggungjawab Pusat Tanggungjawab (PTJ)
    • Mengunci masuk Borang Perubahan Gaji (Kew.320) yang diterima daripada Pusat Gaji beserta dokumen sokongan mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Pejabat Perakaunan bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
    • Memastikan Borang Perubahan Gaji (Kew.320) berkaitan kes kemasukan pegawai yang diterima lewat daripada tarikh yang ditetapkan oleh Pejabat Perakaunan dikemaskini dan diproses secara berasingan (late cycle) untuk membolehkan bayaran dibuat selewat-lewatnya pada hari akhir bekerja bulan tersebut.
    • Menyemak maklumat dalam Fail Induk Gaji sebaik sahaja e-Penyata Gaji & Laporan yang berkenaan dapat dimuat turun dari Portal Rasmi Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) (www.anm.gov.my) dan mengambil tindakan serta merta untuk membuat pelarasan dan pembetulan jika perlu. Kesilapan yang perlu dibetulkan dalam Fail Induk Gaji termasuk perkara berikut:
      1. (i) butiran peribadi;
      2. (ii) nombor akaun bank; dan
      3. (iii) nombor rujukan:
        • a. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja;
        • b. Cukai Pendapatan; dan
        • c. Pinjaman Perumahan Kerajaan dan sebagainya.
    • Memastikan semua arahan bagi potongan gaji adalah lengkap dan tepat dengan nama, nombor kad pengenalan baharu dan nombor rujukan potongan. Kesilapan dan kegagalan dalam memberi maklumat tersebut mengakibatkan:
      • (i) potongan gaji tidak dapat dikreditkan ke akaun yang betul;
      • (ii) menyebabkan berlakunya kelewatan semasa penyediaan kertas pencen penjawat awam.
    • Memastikan Borang Perubahan Gaji (Kew.320) disokong dengan dokumen berikut:
      • (i) salinan kad pengenalan baharu; dan
      • (ii) dokumen yang membuktikan nombor rujukan potongan
    • Memastikan semua pembayaran gaji penjawat awam yang berjawatan tetap dibayar melalui Sistem Gaji Berkomputer. Sekiranya terdapat keperluan pembayaran gaji melalui baucar bayaran berasingan bagi kes-kes tertentu, kebenaran dan kelulusan Ketua Akauntan Kementerian/Pengarah JANM Negeri/Cawangan hendaklah didapatkan terlebih dahulu.

  2. Tanggungjawab Pejabat Perakaunan
    • Menetapkan tarikh pemprosesan larian gaji bulanan untuk dipatuhi oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ).
    • Memastikan semua pembayaran gaji penjawat awam yang berjawatan tetap dibayar melalui Sistem Gaji Berkomputer dan sebarang pembayaran melalui baucar bayaran berasingan boleh dibenarkan bagi kes-kes tertentu dengan kelulusan Pengarah JANM Negeri/Cawangan/Ketua Akauntan Kementerian.

  3. Pembayaran Gaji Bagi Pekerja Bergaji Hari
    • Bayaran hendaklah diproses bermula pada 1 haribulan atau hari bekerja pertama bulan berikutnya; dan
    • Tarikh pembayaran gaji adalah selewat-lewatnya pada hari ketujuh (7) bekerja bulan berikutnya.

Hal-hal Lain Berkaitan Pembayaran Gaji Penjawat Awam 2020

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM), boleh dirujuk kepada pihak berikut:

Pengarah
Bahagian Pengusan Operasi Pejabat Perakaunan (BPOPP)
Jabatan Akauntan Negara Malaysia
Aras 3, Perbendaharaan 2
No.1, Persiaran Perdana
62594, Presint 2
Putrajaya

u.p. : Unit Pengurusan Prestasi
emel : bkp_prestasi@anm.gov.my
No. Tel. : 03 - 8886 1624/1612/1622/1611

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling ini berkuat kuasa mulai pada tarikh ianya dikeluarkan.

Pemakaian

Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pejabat Perakaunan hendaklah memastikan peraturan yang ditetapkan dalam surat pekeliling ini dipatuhi. Peruntukan surat pekeliling ini juga dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Badan Berkanun Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

Penutup

Semoga dengan adanya Jadual Pembayaran Gaji Penjawat Awam keluaran Jabatan Akauntan Negara Malaysia ini, semua penjawat awam akan lebih bersemangat dalam menjalankan amanah yang diberikan.

Para penjawat awam juga digalakkan untuk merancang perbelanjaan kerana terdapat sesetengah tarikh pembayaran gaji yang diawalkan terutamanya pada musim-musim perayaan.

Semoga semua penjawat awam dimurahkan dengan rezeki yang melimpah penuh berkah!

Sumber: SPANM Bil. 7/2019